Monday 20 August 2012

Penderaan Kanak-Kanak



  Anak-anak merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai kepada setiap pasangan suami isteri. Senyuman, tawa dan tangisan mereka mewarnai lagi bumi Tuhan ini. Kelahiran cahaya mata sebersih kain putih ini menandakan bermulanya tanggungjawab ibu bapa untuk membina watak, mengasah minda, mencetus akal dan membina pakai perlindungan kanak-kanak. Namun sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar pelbagai kes penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan media-media massa.

  Kanak-kanak ini sering didera sama ada dari segi fizikal mahupun dari segi mental. Penderaan dari segi fizikal ialah penderaan yang meninggalkan kesan-kesan di tubuh, seperti luka, parut atau lebam sebagai akibat dipukul atau dikenakan benda-benda panas. Manakala penderaan dari segi mental berlaku sebagai akibat dibiarkan atau diabaikan oleh penjaganya. Mangsanya akan mengalami tekanan jiwa, gangguan emosi dan mental atau proses pembesarannya. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.

  Keadaan itu perlu diambil serius memandangkan statistik Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) turut menunjukkan penderaan kanak-kanak di negara ini semakin meningkat setiap tahun sehingga mencecah pertambahan 700 kes seperti dilaporkan antara 2006 hingga 2008. Pada 2008 saja, sebanyak 2,780 kes penderaan kanak-kanak di negara ini dilaporkan dan didapati kes dera paling biasa yang berlaku terhadap kanak-kanak di Malaysia adalah pengabaian. Selain 952 kes membabitkan pengabaian kanak-kanak, statistik turut mendedahkan 863 kes penderaan fizikal, penderaan seksual (733 kes) manakala 58 kes lagi terdiri bayi yang ditinggalkan. Paling menyedihkan, statistik menunjukkan satu daripada dua kanak-kanak yang dilaporkan menjadi mangsa deraan sepanjang 2008 sebenarnya didera oleh ibu bapa mereka sendiri, apabila 772 kes membabitkan ibu manakala 494 dilakukan oleh bapa.

  Pada bulan Mac 2010, kita dikejutkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang menjadi mangsa penderaan teman lelaki kepada ibu kandung sendiri. Allahyarham adik Syafia Humairah Sahari telah didera dengan kejam sehingga mengalami kecederaan dalaman yang kritikal sehingga menyebabkan kematian. Pendera tersebut telah didapati bersalah dan telah dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah.

  Terdapat banyak faktor berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, tekanan di tempat kerja bagi ibu bapa yang bekerja serta beban kerja mereka. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak-anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak tersebut adalah merupakan satu adalah merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok dan sebagainya.

  Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah ekonomi yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah ekonomi menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Ramai ibu bapa menjadi kurang waras akibat dari tekanan ekonomi ini. Ibu bapa sering melepaskan tekanan tersebut dengan memukul atau menyakiti anak-anak tersebut. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Sepatutnya ibu bapa tersebut perlulah berfikir cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut, bukannya dengan melepaskan tekanan. Aspek ekonomi memang penting untuk mewujudkan keluarga yang sempurna. Kasih sayang yang utuh dan prihatin menggunung sekalipun tidak akan berkekalan tanpa wang tekanan.

  Selain itu, krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar juga penyumbang kepada peningkatan kes penderaan ini. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih baru. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.

  Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah ibu bapa yang kurangnya pendidikan agama. Mereka mudah hilang pertimbangan kerana tidak memikirkan dosa dan pahala bahkan mereka merasakan penderaan bukan satu kesalahan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya. Islam juga menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. Al-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya (anak-anak) dengan baik.

  Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen "Keluarga Bahagia" bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kes penderaan anak-anak. Kesedaran dapat mewujudkan masyarakat penyayang.

  Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yang mendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan. Masyarakat boleh melaporkan kepada pihak berkuasa jika terlihat kes-kes penderaan berlaku di persekitaran mereka.

  Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka akan lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.

  Kesimpulannya, jenayah penderaan perlu dibanteras dengan berkesan. Kerjasama dari semua pihak amat penting untuk membendung gejala ini daripada berleluasa. Ibu bapa janganlah bersikap bengis terhadap anak-anak, sebaliknya pupuklah semangat ingin maju dalam diri anak-anak dengan cara psikologi. Bukan dengan cara mendera atau menghukum mereka. Kegemilangan Malaysia di mata dunia tidak akan bermakna jika terdapat sebilangan masyarakat yang masih mengalami kepedihan dan kesengsaraan. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.


Sekian.
*Saya cuma bagitahu. Terpulanglah nak baca or tak. Ni pun untuk manfaat kepada yang telah berkahwin mahupun yang masih single. Selamat membaca :)




No comments:

Post a Comment